Sunday, 29 July 2012

~** AdAb-aDaB MasjiD**~









Mungkin ramai yang tidak menyedari, terdapat adab ketika berada di masjid dan adab ini wajar kita praktikkan jika kita bercadang untuk ke masjid. Setiap Muslim perlulah memelihara adab yang disyariatkan berkaitan masjid. 


Apakah adab yang perlu diketahui oleh orang Islam dan bukan Islam mengenai masjid? 


Antara adab-adab masjid ialah :

1. Semasa berangkat ke masjid
  • Pakai pakaian yang sopan dan bersesuaian tatkala memasuki masjid. Sunat memakai bau-bauan yang diharuskan. Bagi wanita tidak dibenarkan berlebih-lebihan dalam mengenakan wangi-wangian.


  • Sebelum ke masjid hendaklah membaca doa ke masjid seperti diajar Nabi SAW, antaranya:Allahummaj’al fi qalbi nuran, wafi bashari nuran, wafi sam’i nuran, wa’an yamini nuran, wa’an syimali nuran, wa’an amami nuran, wa’an khalfi nuran, wafi ‘ashabi nuran wafi lahmi nuran, wafi sya’ri nuran wafi basyari nuran (yang bermaksud: Wahai Tuhanku, jadikanlah cahaya pada hatiku, cahaya pada penglihatanku, cahaya pada pendengaranku, cahaya di sebelah kananku, cahaya di sebelah kiriku, cahaya di sebelah mukaku, cahaya di sebelah belakangku, cahaya pada uratku, cahaya pada dagingku, cahaya pada darahku, cahaya pada rambutku, dan cahaya pada kulitku.)
2. Ketika berada di kawasan masjid 
  • Membuka kasut dan masuk dengan mendahulukan kaki kanan. Masuk ke dalam masjid hendaklah mendahulukan kaki kanan dan keluar dengan mendahulukan kaki kiri.
  • Ketika masuk masjid, Rasululah mengajar kita membaca doa, “Ya Allah, bukakanlah untukku pintu Rahmat-Mu.”
  • Memberi salam kepada sesiapa yang berada didalam masjid, sekira tiada orang dalam masjid tersebut maka ucapkanlah: “Selamat ke atas kami dan atas hamba Allah yang soleh.”
  • Sebelum duduk, tunaikan solat dua rakaat solat tahiyyatul masjid apabila masuk masjid.
  • Jangan sembahyang di tempat yang boleh mengganggu orang ramai daripada memasuki masjid seperti di muka pintu.
  • Duduk dalam masjid dengan menghadap kiblat. Jangan bermundar-mandir dalam masjid, ingatlah anda sedang berada di rumah Allah, maka duduklah dengan penuh perasaan tawaduk serta banyakkan berzikir dan bertasbih.
  • Berniat iktikaf selama duduk di dalamnya.
  • Memelihara kebersihan masjid dan tidak mengotorinya.
  • Jangan berbual dalam masjid mengenai hal keduniaan.
  • Jangan meninggikan suara dalam masjid sama ada berzikir atau membaca al-Quran. Tidak melakukan perkara tidak disukai syarak seperti bernyanyi, bertanyakan barang-barang yang hilang dan seumpamanya.
3. Ketika hendak meninggalkan masjid 
  • Mohon ampun dan bimbingan Allah agar selamat selama di luar.
  • Berniat untuk datang kembali.
  • Mendahulukan kaki kiri sambil berdoa: “Aku berlindung dengan nama Allah Yang Maha Agung dengan Zat Yang Maha Mulia dan kekuasaanNya yang qadim dari syaitan yang terkutuk.”
  • Memberi salam kepada orang yang masih tinggal di masjid.
  • Jangan mengambil atau membawa pulang barang kepunyaan masjid untuk kegunaan sendiri kerana segala peralatan masjid diwakaf dan ia untuk kegunaan awam.

Demikianlah adab-adab di masjid yang perlu kita praktikkan. Kita lihat beberapa masjid yang besar, namun jemaahnya sangat menyedihkan. Allah SWT berfirman dalam surah at-Taubah ayat 19 yang bermaksud: “Dan (hanya perbuatan) memakmurkan Masjid al-Haram itu sama seperti orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta berjihad pada jalan Allah? Mereka (yang bersifat demikian) tidak sama di sisi Allah dan Allah tidak memberikan hidayah petunjuk kepada kaum yang zalim.”

Ayat itu jelas menunjukkan bahawa usaha memakmurkan masjid mempunyai kedudukan di sisi Allah. Allah SWT dengan tegas menyatakan bahawa tugas memakmurkan masjid Allah hanya dilaksanakan oleh orang yang beriman. Maka orang yang tidak memakmurkan masjid bererti bukanlah orang yang benar-benar beriman.

Satu hadis yang menjelaskan mengenai keutamaan membangun masjid iaitu diriwayatkan al-Bukhari dan Muslim daripada Usman, beliau berkata: “Rasulullah SAW bersabda (yang bermaksud): Sesiapa yang membangun sebuah masjid untuk mencari keredaan Allah SWT, nescaya Allah SWT membangun untuknya sebuah rumah dalam syurga.”

Bagi persoalan bagaimana cara untuk kita memakmurkan masjid? 


Antara cara yang dapat disenaraikan termasuk:
  • Mendirikan masjid di tempat dirasakan perlu untuk memudahkan umat Islam mendirikan jamaah. Hukum melaksanakan perkara ini adalah fardu kifayah.
  • Membantu dan menyokong masjid yang sudah didirikan.
  • Memuliakan masjid dengan tetap melakukan ibadat di dalamnya, menyebut Allah di dalamnya, sentiasa tetap didirikan solat berjemaah, mengadakan program ilmu seperti tazkirah, kuliah ilmu dan seumpamanya.
  • Menjaga adab dalam masjid seperti yang sudah diterangkan di atas.
Bagi mereka yang dilantik menguruskan masjid, hendaklah melakukan perkara yang memberi kebaikan kepada masjid seperti memperbaiki masjid, memastikan azan sentiasa dikumandangkan setiap kali masuk waktu solat, memastikan solat berjemaah sentiasa didirikan, ‘mewangikan’ masjid dan memasang lampu sekadar perlu lebih-lebih lagi setiap kali hari raya, menambah pendapatan wakaf masjid dengan berlaku jujur dan ikhlas dalam menjaga harta itu.

Pada masa sama, hendaklah menjaga kebersihan dan keselamatan perkakas masjid, manakala pegawai masjid, imam, muazzin, tukang bersih dan seumpamanya hendaklah menjalankan tugas yang telah ditetapkan untuk mereka.

No comments:

Post a Comment